Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan tentang sebab-sebab remaja perlu membaca bahan bacaan yang bermutu. Panjangnya ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan supaya menggunakan ayat anda sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.
Jika remaja tidak berminat membaca mereka akan ketinggalan tentang perkembangan pesat yang berlaku di dunia pada hari ini. Dunia pada era globalisasi ini adalah bertunjangkan maklumat dan ilmu sebagai asas perkembangannya. Sekiranya remaja tidak gemar membaca dan kalau hanya membaca tentang hal-hal yang ringan dan bercorak hiburan, gosip, hal-hal picisan, tahayul, kisah-kisah artis dan penghibur semasa, ilmu mereka tidak akan berkembang.
Remaja perlu membaca bahan-bahan bacaan yang bermutu untuk melatih diri supaya berfikir dan menganalisis. Generasi yang membaca bahan bacaan yang bermutu akan dapat menghasilkan idea-idea yang bermakna untuk diri, masyarakat dan negara. Dalam bahan bacaan yang bermutu terkandung maklumat dan ilmu yang amat berguna untuk remaja.
Masyarakat Barat dan Jepun amat gemar membaca. Membaca bukan saja menjadi tabiat sebahagian masyarakat mereka di segenap peringkat tetapi juga menjadi santapan jiwa. Bagi mereka, mendapat bahan bacaan yang digemari ibarat mendapat teman yang sangat dikasihi. Kalau remaja rajin membaca bahan bacaan yang bermutu nescaya pada masa hadapan mereka mampu menempa kemajuan dan perubahan yang berguna untuk masyarakat dan negara seperti orang Barat dan Jepun tersebut.
Tabiat membaca mesti dipupuk dan dilatih sejak kecil lagi. Anak-anak yang masih kecil patut didedahkan dengan bahan-bahan bacaan yang bahan bacaan yang bermutu supaya daya pemikiran mereka akan berkembang dan mereka mampu meningkatkan ilmu pengetahuan. Sekiranya remaja membaca bahan bacaan yang tidak bermutu mereka hanya berupaya memikirkan perkara-perkara yang remeh sahaja. Justeru, apabila dewasa mereka tidak akan berupaya menghadapi desakan hidup yang kian mencabar.
Sebagai negara yang sedang menuju tahap negara maju dan berpendapatan tinggi Malaysia seharusnya memiliki generasi muda yang berminat membaca kerana kemajuan negara banyak bergantung kepada kemampuan ilmu pengetahuan dan pemikiran rakyatnya supaya kita tidak akan terpinggir daripada arus maklumat, ilmu dan juga kemajuan pada era globalisasi yang sedang kita tempuh. Proses memajukan negara harus seimbang dengan darjah kemampuan rakyatnya berfikir.
Bahagian A (ii)
- Berikan maksud rangkai kata desakan hidup yang kian mencabar. 2 markah
- Menurut pengarang, nyatakan dua kesan sekiranya remaja kita hanya berminat membaca bahan bacaan yang tidak bermutu?
- Pada pendapat anda, apakah yang patut dilakukan untuk menggalakkan minat golongan remaja kita membaca bahan bacaan yang bermutu?
No comments:
Post a Comment