Novel yang
saya pelajari, Merenang Gelora karya Ruslan Ngah mengisahkan kehidupan Badri
dan kawan-kawannya semasa zaman persekolahan. Sebagai pengawas sekolah Badri
berusaha membantu kawan-kawannya yang terlibat dalam masalah disiplin.
Di sekolah
itu, Meng Kong, Shahrul dan Kumar menjual kad prabayar dan menjual telefon
bimbit yang dibayar secara ansuran kepada murid. Hal ini menimbulkan masalah
kerana murid-murid yang membeli telefon bimbit daripada mereka sering meminta
wang sekolah yang lebih daripada ibu bapa.
Kegiatan
Meng Kong, Kumar dan Shahrul terbongkar apabila Meng Kong tertangkap mencuri
telefon bimbit di kedai ayahnya sendiri.
Hal ini menyebabkan Shahrul dan Kumar bertambah sakit hati terhadap
Badri. Namun begitu, Kumar insaf apabila
dia tertangkap ketika hendak memasukkan sekotak rokok ke dalam beg Meng
Kong. Hal ini menyebabkan Shahrul semakin
mendendami Badri. Tambahan pula dia iri hati kerana kawan rapatnya Nadira, murid
perempuan yang agak menarik di sekolah itu berbalik hati kepada Badri.
Badri
tidak pernah berputus asa, walaupun berhadapan dengan pelbagai tekanan semasa
menjalankan tugasnya sebagai pengawas.
Sinopsis mengikut
bab demi bab
Bab 1 – Tugas Baharu
Badri anak
sulung daripada dua orang adik beradik mula bertugas sebagai seorang pengawas
sekolah Adiknya bernama Badrul. Beliau seorang yang tegas dan berdisiplin.
Bercita-cita ingin menjadi pemimpin pada masa hadapan. Jamil merupakan kawan
baik Badri, manakala Shahrul seorang murid yang nakal, Siti Cahaya Nadira
seorang murid baharu yang cantik menjadi rebutan murid-murid lelaki di sekolah
tersebut. Jamil dan Badri cabar-mencabar
untuk menambat hati Siti Cahaya Nadira.
Bab 2 – Api Yang Mula Membara
Badri menolak
ajakan Jamil untuk melepak di Mastika Mall. Mereka berbeza dari segi soal
prinsip kehidupan. Meng Kong anak tauke kedai telefon selalu dikerumuni oleh
murid-murid lain. Badri telah disimbah oleh seseorang dengan air kotoran semasa
berada di dalam tandas. Peristiwa itu menjadi heboh di kantin. Nadira
menyindirnya. Cikgu Jailani menyiasat kes tersebut. Badri dibenarkan balik ke
rumah lebih awal kerana keadaan bajunya yang basah dan berbau busuk. Selepas
itu Badri pergi ke perpustakaan untuk menenangkan jiwanya. Semasa berjalan-jalan dia terserempak dengan
Shahrul dan Nadira yang menunggang motosikal. Badri telah pergi ke rumah Pak
Alang dan agak terkejut kerana terserempak dengan Nadira di sana. Pak Alang
memperkenalkan Nadira sebagai anak buahnya dari Kedah.
Bab 3 – Main Api
Badri
dapat mengenali murid yang menyimbahnya dengan air kotoran di tandas berdasarkan
tanda lahir yang terdapat pada leher murid tersebut. Murid itu ialah
Kumar. Kumar dibawa kepada Cikgu Jailani,
iaitu guru disiplin. Kumar ditangkap kerana turut membawa telefon bimbit. Ah
Chun dan Selva, rakan sekelas Badri yang menyuruh Kumar, Meng Kong dan Shahrul
menjual kad prabayar kepada murid-murid di sekolahnya. Kumar telah mengingatkan
Jamil agar memberitahu Badri supaya tidak memerhatikan Meng Kong lagi. Nadira
memberi amaran agar Badri tidak melaporkan apa-apa kesalahannya kepada Mak
Alang. Badri digelar sebagai pelapor. Badri dimalukan apabila terjatuh setelah
dirempuh oleh Bob dengan kuat dan disindir oleh Kumar serta ditertawakan oleh
Nadira. Semasa di dalam bas, dia mendapat nota yang memintanya datang ke pasar
raya pada petang itu. Dia ke pasar raya itu dan bertemu dengan Siew Mei yang
belum pernah dikenalinya sebelum ini.
Bab 4 – Duri Dalam Daging
Kumar
bertemu dengan Meng Kong dan Shahrul di pusat boling. Dia meluahkan rasa tidak
puas hatinya terhadap Badri kerana telah ditangkap oleh Badri dan telefonnya
dirampas. Kumar masih berdendam dengan Badri.
Bab 5 - Pertemuan
Badri
berjumpa dengan Jamil dan bertanya tentang pelibatannya dalam kegiatan menjual
kad prabayar. Semua rahsia Jamil itu diceritakan oleh Siew Mei setelah
diberitahu oleh abangnya yang bekerja di kedai telefon ayah Meng Kong, iaitu
Encik Tan setelah Encik Tan mengesan kehilangan kad prabayar dan telefon kerap
berlaku di kedainya. Badri pula melakukan sesuatu untuk menyelamatkan Nadira
daripada terus berkawan dengan Shahrul. Kemungkinan Shahrul turut terlibat
dengan aktiviti yang tidak bermoral.
Bab 6 – Kemuncak Dunia
Nadira
dimarahi oleh Nurul Ain, iaitu kakaknya kerana berpakaian sendat semasa hendak keluar
pada pagi Sabtu itu. Nadira menunggu Shahrul dalam keadaan marah kerana Shahrul
selalu lewat, tetapi sering terpujuk oleh kata-kata manis Shahrul. Nadira marah
kepada Badri kerana menegurnya berkawan dengan Shahrul. Nadira mengikut Shahrul
bersiar-siar dengan menunggang motosikal. Shahrul bertemu dengan rakannya, mat
motor yang selalu berlumba haram. Nadira tidak senang dengan Aziz iaitu salah
seorang kawan dalam kumpulan mat motor Shahrul. Mereka telah diserbu oleh anggota
polis tetapi Shahrul, Aziz dan rakan-rakannya dapat melarikan diri. Nadira
terperangkap kerana ditinggalkan oleh Shahrul. Akhirnya, Nadira ditangkap dan
dihantar pulang ke rumahnya oleh pihak polis. Pihak polis menerangkan bahawa
Nadira telah berkawan dengan mat rempit yang diburu oleh pihak polis. Ada
kalangan mereka yang terlibat dengan jenayah. Nadira dimarahi kakaknya.
Bab 7 – Secantik Sinar
Jamil
menjauhi Badri. Taufik kawan sekelas Badri ingin mengetahui masalahnya. Badri
menyembunyikannya dan memarahinya kerana bersikap menjaga tepi kain orang lain.
Taufik memberitahu kejadian yang menimpa Nadira dan Shahrul. Nadira telah
ditangkap dan disoal oleh pihak polis. Hal ini telah diketahui oleh pengetua
dan menyebabkan Nadira dipanggil untuk menceritakan situasi sebenar kejadian
tersebut. Nadira berjumpa dengan Badri di perpustakaan untuk meminta maaf atas
kesalahannya terhadap Badri. Nadira menyatakan hasratnya ingin berkawan dengan
Badri tetapi Badri serba salah dan malu. Pertemuan Nadira dengan Badri
tersebut menyebabkan Ahahrul amat marah
kepada Badri. Mereka saling mencabar.
Bab 8 – Mengharung Badai
Jamil
menceritakan bahawa dia telah dituduh mencuri telefon bimbit di kedai ayah Meng
Kong kepada Badri. Nasibnya baik kerana bapa Meng Kong tidak membuat laporan
kepada pihak polis dan sekolah. Dia tidak dapat membela diri. Badri bersyukur
kerana Jamil sudah insaf atas perbuatannya. Nadira masih berharap Badri tidak
masuk campur urusan Meng Kong dan kawan-kawannya, tetapi Badri masih bertekad
menyelongkar kebenaran. Siew Mei mengajak Badri berjumpa di bengkel dan
menasihati Badri supaya tidak bergaduh dengan Shahrul kerana Nadira. Siew Mei
meminta Badri membimbing Nadira. Akhirnya Badri bertanya kepada Siew Mei
mengapa dia mengambil berat tentangnya. Siew hanya menutup mulut dan lari
tergesa-gesa kerana malu.
Bab 9 – Rahsia Hampir Terbongkar
Badri
mengintip perbualan Kumar, Meng Kong dan Shahrul tentang rancangan mereka untuk
terus menjual telefon bimbit dan kad prabayar ketika sedang berjoging di tasik.
Mereka agak risau jika Jamil membongkar kegiatan mereka itu. Mereka telah
disergah oleh Badri. Shahrul menyerang Badri tetapi dapat dielak kerana Badri
mahir dalam ilmu persilatan.
Bab 10 – Semarak Api
Shahrul
tidak selesa tinggal di rumah teres walaupun sudah tiga tahun mendiaminya. Dia
masih lagi rindu akan rumah lamanya yang besar dan mewah itu. Rakan-rakan
Shahrul sering menganggapnya daripada golongan yang berada, namun sebaliknya.
Dia telah dipanggil oleh Cikgu Jailani kerana menyerang Badri. Apabila Shahrul
bertemu dengan Badri yang sedang makan bersama-sama Nadira, hatinya marah dan
dia cuba mengungkit rancangan mereka dahulu untuk mengenakan Badri. Tujuannya
adalah untuk memisahkan Badri dengan Nadira. Suatu hari, Shahrul dan Kumar
memungut hutang daripada Amir yang membeli telefon tetapi dibayar separuh
sahaja kerana emaknya tidak membenarkan dia membelinya dan meminta dipulangkan
kembali. Apabila Amir memulangkan telefon itu kepada Shahrul, telefon tersebut
telah jatuh dan dilihat oleh Cikgu Jailani. Amir dibawa ke bilik guru. Amir
telah diugut oleh Shahrul dan Kumar agar tidak menceritakan hal sebenar kepada
Cikgu Jailani, sebagai balasan hutang Amir akan dihapuskan. Amir telah
berbohong kepada Cikgu Jailani untuk menutup rahsia daripada siapa dia membeli
telefon itu agar hutangnya lupus.
Bab 11 – Tertangkap
Meng Kong
ke kedai ayahnya untuk mendapatkan bekalan telefon di dalam stor tanpa
menyedari stor tersebut telah dilengkapi sistem CCTV. Dia berpura-pura menunggu
Ah Meng. Telefon itu diserahkan kepada Kumar agar tidak dikesan oleh bapanya.
Ah Meng telah memainkan semula rakaman CCTV tersebut dihadapan Encik Tan. Encik
Tan telah melihat Meng Kong mengambil empat telefon bimbit dari stor itu.
Apabila Meng Kong balik dia disuruh berjumpa dengan ayahnya. Ayahnya telah
menunjukkan rakaman CCTV kepada Meng Kong lalu Meng Kong meminta maaf dan
berharap dia dimaafkan tetapi ayahnya telah menghukumnya dengan menyuruhnya
tinggal di asrama sekolah serta meminta maaf daripada pengetua sekolah iaitu
Encik Baharom. Akhirnya, mereka bertiga, Shahrul, Meng Kong dan Kumar
tertangkap dan dikenakan hukuman tiga sebatan setiap orang. Meng Kong
ditempatkan di asrama. Badri meminta Taufik memerhatikan Meng Kong.
Bab 12 – Suasana Baharu
Meng Kong
mengikuti rutin jadual di asrama walaupun dia berasa kekok, tetapi atas
keramahan Taufik dan Saiful, dia cuba menyesuaikan diri. Dia berasa lega kerana
tiada orang bertanya sebab dia tinggal di asrama. Meng Kong mula belajar dan
membuat kerja sekolahnya mengikut masa dan jadual. Dia menceritakan
pengalamannya buat kali pertama dapat menyiapkan kerja rumah kepada Shahrul dan
Kumar. Mereka tidak berpuas hati dengan perubahan Meng Kong yang tidak mahu
menjual telefon lagi kerana Meng Kong takut diugut ileh bapanya untuk tinggal
dengan datuknya yang garang. Shahrul dan Kumar masih mengajak Meng Kong
meneruskan usahanya, tetapi Meng Kong tetap menolak. Berlaku pertengkaran
antara mereka dan Badri datang meleraikan pertengkaran tersebut dengan membawa
mereka berjumpa Cikgu Jailani. Mereka dirotan atas kesalahan tersebut.
Bab 13 – Jiwa Remaja
Badri
bersiap-siap untuk keluar berjumpa dengan Nadira. Badri diusik oleh Badrul yang
menyatakan abangnya mempunyai dua orang buah hati kepada emaknya. Nadira
menelefon Badri dan bertanya tentang kelewatannya. Badri akhirnya datang untuk
melihat pementasan teater tersebut. Nadira berasa cemburu apabila mengetahui
hubungan Badri dengan Siew Mei. Nadira mengelamun semasa pementasan itu dan
disedari oleh Badri. Setelah pulang ke rumah Badri dimaklum oleh Badrul bahawa
Jamil datang mencarinya. Badri menelefon Jamil, mereka berbual-bual melalui
telefon. Mereka berjanji untuk bertemu pada keesokan harinya namun apabila
Badri pergi mencarinya tetapi dia tiada di rumah. Jamil hilang tanpa dapat
dikesan walaupun dia telah bertanya kepada ibu bapa Jamil serta Taufik dan
Kumar. Badri menemui Kumar yang sedang memasukkan rokok ke dalam beg Meng Kong
atas arahan Shahrul supaya Meng Kong dibuang dari asrama. Kumar mengikut sahaja
arahan Shahrul kerana takut dikasari oleh Sahrul.
Bab 14 – Di Persimpangan
Kumar
insaf akan perbuatannya. Dia menjauhkan diri daripada Shahrul agar tidak
terpengaruh dan terikut-ikut dengan gaya hidup Shahrul yang mewah. Shahrul berusaha
untuk memastikan bahawa Kumar masih mahu menjadi ahli kumpulannya dan tidak
membocorkan rahsia mereka apabila Jamil dan Meng Kong tidak lagi terlibat dalam
kumpulan mereka. Shahrul tetap memujuk Kumar mengikutnya untuk membalas dendam
terhadap Badri.
Bab 15 – Kehilangan Yang Misteri
Kehilangan
Jamil menjadi misteri. Walau bagaimanapun, Badri tidak dapat melupakan
sahabatnya itu. Kini Badri sudah berkawan baik dengan Kumar. Badri dikejutkan
dengan berita di akhbar yang dibaca oleh Siew Mei tentang kematian Amran iaitu
kawan Jamil yang mati ditembak kerana terlibat dengan jenayah dan pengedaran dadah.
Badri risau akan Jamil kerana dia juga mungkin turut terlibat dalam kes jenayah
tersebut.
Bab 16 – Tersayat Pedih
Shahrul
ketakutan mendengar berita kematian Amran dan mengurung diri serta mencari
jalan untuk mendekati Nadira semula sebagai sahabat. Shahrul mula merasakan
kehilangan rakan-rakannya dan mula bergaul dengan rakan-rakan yang lebih
dewasa. Apabila melihat Badrul, Shahrul ingin membalas dendam terhadap Badri
dengan mengupah Din memukul Badrul iaitu adik Badri. Din tidak mahu terlibat
dan hal ini menyebabkan Shahrul marah lalu memecut motosikalnya menyebabkan dia
terjatuh. Badrul dan kawan-kawannya menghantar Shahrul ke hospital.
Persahabatan Kumar dengan Badri menyebabkan Siew Mei tidak berpuas hati.
Apabila berjumpa dengan Badri, Kumar menceritakan niat sebenar Shahrul melalui
maklumat yang diperoleh melalui Din tetapi Nadira curiga dengan kata-kata
Kumar, sebaliknya Siew Mei tidak bersetuju dengan pendapat Nadira yang
menyatakan Shahrul telah berubah.
Bab 17 – Mangsa Fitnah
Badri dan
Kumar banyak menghabiskan masa mengulangkaji pelajaran. Namun begitu Badri
kesal dengan Siew Mei atas sikapnya yang tidak semesra sebelum ini. Kumar
menyatakan ada perasaan cemburu antara Siew Mei dengan Nadira yang ingin
merebut hati Badri. Untuk menghindari perasaan tersebut Badri lebih banyak
menghabiskan masa mengulangkaji dengan Kumar. Badri telah difitnah membawa
telefon bimbit ke sekolah apabila Cikgu Jailani menemukan telefon tersebut di
dalam begnya. Badri dibawa oleh Cikgu Jailani ke bilik disiplin. Taufik
menyatakan Shahrul telah menyuruh Kumar melakukannya. Badri terkilan kerana
Nadira tidak menyokongnya sebaliknya menyalahkannya juga. Berita negatif
tersebut masih tersebar walaupun Cikgu Jailani mendapati bahawa Badri tidak
bersalah. Badri juga disindir oleh Shahrul. Semua rakan menjauhkan diri
daripadanya kecuali Siew Mei dan Taufik.
Bab 18 – Pentas Sandiwara
Badri dan
Taufik mendengar perbualan Shahrul dan Kumar. Mereka mendapati Shahrul telah
mengarahkan Kumar meletakkan telefon bimbit ke dalam beg Badri tetapi Kumar
tidak mematuhi arahan tersebut. Hal ini menyebabkan Shahrul berasa marah.
Pertengkaran antara Shahrul dan Kumar telah dilihat oleh Lokman dan Badri.
Mereka dibawa ke bilik pengawas oleh Lokman, iaitu ketua pengawas. Badri diberi
semangat oleh Taufik dan Lokman berkenaan fitnah yang ditabur kepadanya.
Bab 19 – Cerita Baharu
Meng Kong
berjumpa dengan Badri, Taufik dan Siew Mei di kantin. Mereka bersimpati dengan
nasib Badri. Badri menyatakan bahawa Kumar tidak terlibat dalam hal tersebut.
Mereka berbincang tentang sikap Shahrul yang tidak serik dengan kejadian yang
telah berlaku kerana ibu bapanya tetap menyokongnya walaupun Cikgu Jailani
pernah ke rumah Shahrul memberitahu sikap Shahrul kepadanya.
Bab 20 – Hati Yang Terluka
Hubungan
Nadira dengan Shahrul kembali mesra. Hal ini menimbulkan sedikit kecemburuan
dalam hati Badri. Semasa mengelamun, Badri tersebut nama Nadira menyebabkan Siew
Mei berkecil hati. Doa Badri agar dia ditemukan dengan Nadira untuk mengetahui
pandangan Nadira terhadapnya. Akhirnya dia bertemu dengan Nadira yang ditemani
Shahrul di rumah Pak Alangnya. Badri menyatakan kesalahan Shahrul telah dikesan
oleh Cikgu Jailani menyebabkan Shahrul berasa bimbang. Badri menyindir Nadira.
Bab 21 – Harapan
Shahrul
terlibat dalam kemalangan selepas balik dari rumah Pak Alang Nadira. Shahrul
menduduki SPM di hospital. Kesan daripada kemalangan tersebut, kaki Shahrul
tempang sebelah. Badri meminta maaf kepada Siew Mei akan sikapnya tempoh hari. Badri
menyatakan cita-citanya untuk berjaya dalam Sijil Pelajaran Malaysia bukan
untuk mengejar cinta. Hal ini disokong oleh Siew Mei. Badri, Taufik dan Siew
Mei sama-sama belajar untuk menduduki SPM dan berjaya menjawab soalan dengan
baik. Selepas tamat peperiksaan, mereka sama-sama berbincang tentang cara untuk
menghabiskan masa cuti mereka. Taufik akan mengikut Badri berkerja
di resort bapa saudara Badri. Badri dan Siew Mei berjaya mendapat 9A
dalam SPM. Taufik pula mendapat 7A. Selepas mendapat keputusan, Badri bergegas
pergi membeli tiket untuk balik bekerja semula. Badri telah memohon kemasukan
ke universiti.
Bab 22 – Senja Belum Berlabuh
Pertemuan
semula antara Badri dengan Jamil berlaku di resort milik Jamil setelah mereka
berjaya dalam kehidupan masing-masing. Mereka mengimbau kembali kenangan lalu.
Badri melanjutkan pelajaran di Ireland dalam bidang perubatan dan akan bertugas
sebagai doktor di Hospital Besar Kuala Lumpur. Jamil melanjutkan pelajaran
dalam bidang perhotelan dan pelancongan di UiTM. Taufik mendapat ijazah dalam
bidang perniagaan. Jamil dan Taufik berkongsi membuka resort di Terengganu.
Shahrul dan Kumar melanjutkan pelajaran di sekolah politeknik dalam jurusan automotif
sehingga berjaya membuka beberapa bengkel beberapa buah kereta di Kuala Lumpur.
Shahrul telah berkahwin dengan Nadira. Nadira berjaya membuka sebuah butik
setelah memperoleh kelulusan diploma fesyen di UiTM. Siew Mei berjaya menjadi
seorang doktor gigi. Badri dan rakan-rakannya berjaya merenang gelora dalam
kehidupan mereka dan berharap berjaya merenang gelora yang akan datang.
Tema
Novel ini bertemakan cabaran dan tanggungjawab
seorang pelajar dalam menjalankan tugas sebagai pengawas. Tema ini
dijelmakan melalui watak utamanya, Badri yang menempuh pelbagai cabaran sepanjang
menjalankan tugasnya sebagai pengawas sekolah yang belum pernah disandang
sebelum itu.
Persoalan
- Ibu bapa yang terlalu mementingkan kerjaya menyebabkan anak-anak terlibat dalam masalah sosial. Contoh: Shahrul yang kurang mendapat perhatian daripada ibu bapanya telah terlibat dalam masalah disiplin sekolah dan bercampur dengan kumpulan motor.
- Kasih sayang ibu bapa terhadap anak-anak. Contoh: Encik Tan memohon kepada pengetua supaya Meng Kong ditempatkan di asrama sekolah supaya anaknya berdisiplin dan berjaya dalam peperiksaan.
- Hasad dengki dalam persahabatan. Contoh: Shahrul mengarahkan Kumar memasukkan dua kotak rokok ke dalam beg sekolah Meng Kong supaya Meng Kong dibuang dari asrama, walaupun Meng Kong merupakan kawannya juga.
- Tanggungjawab terhadap tugas. Contoh: Badri sebagai seorang pengawas terus merujuk Cikgu Jailani sekiranya pelajar terlibat dalam kes disiplin walaupun melibatkan kawannya sendiri Jamil.
- Semangat kerjasama dalam menyelesaikan masalah. Contoh: Siew Mei memberikan maklumat kepada Badri tentang penglibatan Shahrul dan rakan-rakannya dalam penjualan telefon bimbit secara ansuran kepada pelajar di sekolahnya.
- Sikap gigih golongan pelajar agar berjaya dalam peperiksaan. Contoh: Badri, Siew Mei dan Taufik mengadakan belajar berkumpulan dan akhirnya berjaya memperoleh keputusan 9A dan 7A dalam Sijil Pelajaran Malaysia.
- Buruk sangka terhadap rakan dalam kalangan pelajar. Contoh: Shahrul, Kumar, Jamil dan Meng Kong bersangka buruk terhadap Badri sehingga menyimbahkan air ketika Badri berada di dalam tandas sekolah.
- Pelibatan golongan remaja dalam lumba haram. Contoh: Shahrul dan Aziz terlibat dalam perlumbaan haram sehingga hampir ditangkap oleh pihak polis.
- Berdikari supaya mendapatkan pengalaman bekerja. Contoh: Badri dan Taufik bekerja sambilan di resort bapa saudara Badri sementara menunggu keputusan SPM.
- Perpaduan antara kaum yang berbeza bangsa dan agama . Contoh: Badri, Siew Mei,Taufik dan Kumar belajar bersama-sama walaupun mereka berlainan agama dan bangsa.
Plot
Permulaan
- Pengarang memperkenalkan watak utama, Badri yang baru menyandang jawatan sebagai pengawas sekolah.
- Pada bahagian ini juga diperkenalkan watak Badrul iaitu adik kepada Badri yang cuba mengusik abangnya tentang jawatan pengawas yang baru disandang abangnya. Badri merasakan tanggungjawab menjadi pengawas sekolah merupakan tanggungjawab yang berat yang harus digalasnya.
- Pada bahagian ini diperkenalkan watak Jamil yang merupakan rakan baik Badri tetapi mereka berbeza dari segi prinsip hidup.
- Kehadiran seorang pelajar baru Siti Cahaya Nadira menjadi satu perselisihan pendapat tentang personaliti Nadira antara Badri dan Jamil tetapi berakhir dengan perdamaian.
- Peristiwa Badri disimbah oleh seorang murid dengan air kotoran ketika berada di dalam tandas tidak melemahkan semangatnya untuk berusaha mencari pelakunya dan akhirnya pelajar yang terbabit dapat ditangkap dan diserahkan kepada guru disiplin.
- Siew Mei menceritakan kegiatan negatif Meng Kong menjual telefon bimbit dan kad prabayar yang dicuri dari kedai ayah Meng Kong kepada pelajar sekolah. Jamil turut terlibat dalam kegiatan tersebut.
- Hubungan Badri dengan Jamil semakin renggang kerana Jamil merahsiakan tentang kegiatan penjualan telefon bimbit kepada Badri.
- Shahrul dan rakan-rakan lumba haram telah diserbu oleh pihak polis ketika Shahrul keluar dengan Nadira.
- Idham, abang kepada Jamil diberhentikan kerja oleh Encik Tan kerana Meng Kong menuduh Idham mencuri telefon bimbit di kedai bapanya.
- Masalah kecurian telefon bimbit telah dapat dikesan melalui CCTV yang dipasang di kedai dan di stor milik Encik Tan oleh abang Siew Mei iaitu Ah Meng
- Jamil menghilangkan diri tanpa dapat dijejaki oleh Badri kerana keluarga Jamil merahsiakan keberadaan Jamil.
- Meng Kong berjaya ditempatkan di asrama dan telah berubah sikap begitu juga dengan Kumar yang telah insaf dengan kesalahan yang dilakukannya.
- Badri, Siew Mei, Taufik, Nadira dan Kumar telah menduduki peperiksaan SPM manakala Sahrul mengambil peperiksaan di hospital akibat kemalangan.
- Badri dan Siew Mei mendapat 9A manakala Taufik memperoleh 7A dalam peperiksaan SPM.
- Encik Tan, bapa Meng Kong berjumpa pengetua untuk menyelesaikan masalah telefon bimbit yang telah dirampas oleh pihak sekolah. Beliau juga memohon agar anaknya ditempatkan di asrama sekolah agar anaknya berdisiplin dan memberikan tumpuan terhadap pelajaran.
- Encik Tan meminta maaf kerana anaknya telah menyusahkan murid-murid dan guru-guru di sekolah tersebut. Encik Tan juga meminta anaknya, Meng Kong agar memohon maaf kepada pengetua atas kesalahan yang dilakukan.
- Meng Kong, Shahrul dan Kumar dipanggil ke bilik pengetua dan dikenakan hukuman rotan sebanyak tiga sebatan setiap seorang.
- Kumar ditangkap oleh Badri dan Taufik ketika cuba memasukkan dua kotak rokok ke dalam beg sekolah Meng Kong. Tujuannya adalah supaya Meng Kong dibuang dari asrama.
- Peristiwa mengejutkan telah berlaku apabila cikgu Jailani menemui telefon bimbit di dalam beg Badri.
- Shahrul terlibat dalam kemalangan jalan raya mengakibatkan kakinya tempang sebelah.
- Badri melanjutkan pelajaran di Ireland dalam bidang perubatan dan akan bertugas sebagai doktor di Hospital Besar Kuala Lumpur.
- Jamil melanjutkan pelajaran dalam bidang hotel dan pelancongan di UiTM.
- Taufik mendapat ijazah dalam bidang perniagaan.
- Jamil dan Taufik berkongsi membuka resort di Terengganu.
- Shahrul dan Kumar melanjutkan pelajaran di Politeknik dalam jurusan kemahiran memperbaiki kereta sehingga berjaya membuka beberapa cawangan bengkel kereta di Kuala Lumpur.
- Shahrul telah berkahwin dengan Nadira. Nadira berjaya membuka sebuah butik setelah memperoleh kelulusan diploma fesyen di UiTM.
- Siew Mei berjaya menjadi seorang doktor gigi.
- Badri dan rakan-rakannya berjaya merenang gelora dalam kehidupan mereka dan berharap mereka akan berjaya merenang gelora yang mendatang.
Teknik Penceritaan
- Pemerian (diceritakan secara terus): Contoh: Badri tidak mengendahkan usikan adiknya. Dia menyuap nasi lemak dan mengunyahnya perlahan-lahan.
- Dialog (perbualan): Contoh:”Kalau Badrul buat salah, abang jangan tangkap”, usik Badrul lagi.
- Imbas kembali (mengenang hal lalu). Contoh: Jamil menjelaskan kehilangannya dari sekolah kerana telah berpindah ke Sarawak ketika bertemu semula dengan Badri di resort kepunyaan Jamil.
- Imbas Muka (pada masa depan). Contoh: Kumar mengandaikan sekiranya Meng Kong mengambil stok baharu telefon bimbit dari stor ayahnya pasti dia akan memperoleh keuntungan yang lumayan.
- Elemen Saspens/ketegangan (menyebabkan tertanya-tanya, tertunggu-tunggu). Contoh: Kehilangan Jamil di sekolah tidak dapat dijejaki oleh Badri dan rakan-rakannya walaupun telah bertanya kepada ibu bapa Jamil.
- Unsur kejutan (secara tiba-tiba/tidak diduga). Contoh: Shahrul dan rakan-rakannya terkejut apabila Badri tiba-tiba muncul di pondok tempat mereka berbincang tentang penjualan telefon bimbit.
- Monolog dalaman (kata hati). Contoh: Shahrul mengucapkan terima kasih kepada Badrul dalam hatinya.
Watak dan Perwatakan
Watak Utama
Badri
Watak
- Anak sulung kepada Mak Siti.
- Mempunyai seorang adik lelaki bernama Badrul.
- Berperawakan kemas dan berwibawa dalam menjalankan tanggungjwab sebagai seorang pengawas.
- Pengawas sekolah.
Perwatakan Badri:
- Badri georang yang bertanggungjawab. Contoh: Badri telah berjaya menyelesaikan masalah disiplin seperti penjualan telefon bimbit di sekolah.
- Seorang yang berdisiplin. Contoh: Dia tidak pernah melanggar peraturan sekolah sepanjang bergelar pelajar melalui pengetahuan adiknya.
- Seorang yang menepati masa. Contoh: pada pukul 6.40 pagi Badri tidak pernah terlewat menunggu bas awam untuk pergi ke sekolah.
- Seorang yang setia dalam persahabatan. Contoh: Badri berkawan baik dengan Jamil walaupun beliau telah mengetahui bahawa Jamil turut terlibat dalam kes pejualan telefon bimbit di sekolahnya.
- Seorang yang berani menghadapi cabaran. Contoh: Badri bersikap berani menghadapi cabaran dalam menangani masalah murid yang berlagak ala samseng,dan sengaja melanggar disiplin sekolah.
- Seorang yang rajin belajar. Contoh: Badri mengajak Siew Mei dan Taufik membentuk kumpulan untuk mengulangkaji pelajaran.
- Seorang yang berpendirian teguh. Contoh, Badri tidak menghiraukan tentang usikan rakan-rakannya mengenai hubungannya dengan Nadira dan Siew Mei.
Watak Sampingan
Shahrul
Watak
- Murid dari kelas 5 Cergas.
- Bersahabat baik dengan Kumar dan Meng Kong.
- Berasal daripada keluarga berada.
Perwatakan:
- Seorang yang ego. Contoh: Shahrul tidak selesa tinggal di rumah teres kerana selama ini dia tinggal di rumah banglo
- Seorang yang materialistic / mementingkan kebendan. Contoh: Shahrul telah terlibat dalam kegiatan penjualan telefon bimbit yang dicuri semata-mata untuk memperoleh wang bagi membeli barangan mewah dan berjenama.
- Seorang yang tidak menepati masa. Contoh: Shahrul tidak menepati masa dan selalu terlewat ketika berjanji temu dengan Nadira.
- Seorang yang suka berfoya-foya. Contoh: Shahrul bercampur-gaul dengan kumpulan budak-budak motor dan melepak di kompleks beli-belah.
- Seorang yang gemar makan makanan barat. Contoh: Shahrul sering mengunjungi sebuah restoran barat di pusat beli-belah.
- Seorang yang bersikap buruk sangka atau prejudis terhadap rakan. Contoh: Shahrul menganggap bahawa Badri pengawas yang suka berlagak.
- Seorang yang panas baran. Contoh: Shahrul mencekak kolar baju Kumar semasa memujuk Kumar mengikut arahannya untuk menjual telefon bimbit secara ansuran.
- Seorang remaja yang mudah terpikat dan berani mendekati gadis cantik. Contoh: Shahrul berani membawa Nadira keluar bersiar-siar menaiki motosikal.
Nadira
Watak
- Seorang murid perempuan.
- Baru berpindah dari Sekolah Menengah Badrul Shah, Kedah ke Kuala Lumpur kerana mengikut ayahnya bertugas di sana.
- Merupakan sahabat Badri dan Jamil dalam kelas 5 Bestari.
Perwatakan
- Seorang yang tidak tegas pendirian. Contoh: Nadira mudah dipengaruhi oleh Shahrul bahawa Badri turut terlibat dalam masalah disiplin seperti membawa telefon bimbit ke sekolah walaupun sebenarnya Badri telah dianiayai oleh Shahrul.
- Seorang yang mengalami kejutan budaya. Contoh: Setelah berada di Kuala Lumpur dan berkawan dengan Shahrul, Nadira memakai jeans ketat dan baju senteng.
- Seorang yang tidak mendengar nasihat. Contoh: Nadira tidak mendengar nasihat Badri agar tidak terpengaruh dengan Shahrul yang suka menghabiskan masa dengan aktiviti yang tidak berfaedah serta boleh menjejaskan masa depannya.
- Seorang yang suka membazirkan masa. Contoh: Nadira sering membazirkan masa dengan bersiar-siar menaiki motosikal dan melepak di kompleks beli-belah bersama-sama Shahrul.
- Seorang yang tidak menghormati orang lain. Contoh: Nadira meninggikan suara ketika kakaknya, Nurul Ain menegur tentang pakaiannya yang agak terdedah dan mencolok mata.
Meng Kong
- Watak
- Anak kepada Encik Tan, pemilik kedai telefon bimbit.
- Sahabat kepada Badri.
- Seorang anak yang tidak jujur. Contoh: Meng Kong mencuri kad prabayar dan telefon bimbit dari kedai ayahnya sendiri lalu dijual kepada murid-murid di sekolahnya.
- Seorang yang mata duitan. Contoh: Meng Kong sanggup mencuri telefon bimbit di kedai ayahnya untuk mendapatkan wang sehingga mencecah hampir dua ribu ringgit.
- Seorang yang telah insaf akan kesalahan yang dilakukan. Contoh: Setelah bapanya mengetahui perbuatan jahatnya melalui rakaman CCTV dia memohon maaf daripada ayahnya dan berjanji tidak akan melakukan kesalahan itu lagi.
- Seorang yang patuh dan taat kepada ibu bapa. Contoh: Meng Kong sanggup tinggal di asrama sekolah sepertimana yang diarahkan oleh bapanya.
Cikgu Jailani
- Guru Matematik dan guru disiplin sekolah.
- Perwatakan
- Seorang yang tegas. Contoh: Dia mengambil tindakan tegas kepada pelajar yang terlibat dengan masalah disiplin.
- Seorang yang adil. Contoh: Dia mengarahkan supaya para pengawas mengawasi kawasan sekitar sekolah secara bergilir-gilir dalam bentuk berpasukan yang terdiri daripada 3 orang pengawas dalam satu pasukan.
- Seorang yang rasional. Contoh: Cikgu Jalani menyelidiki kes Badri disimbah air ketika berada di dalam tandas dan kes telefon bimbit yang dijumpainya di dalam beg sekolah Badri.
- Seorang yang bertolak ansur. Contoh: Walaupun Kumar kerap melakukan kesalahan tetapi setelah Kumar memohon maaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesilapannya, akhirnya Cikgu Jailani tidak menggantung persekolahannya.
Latar
Latar Tempat
- Tepi tasik. Contoh: Badri berjoging pada waktu pagi.
- Pondok kecil. Contoh: Shahrul, Kumar dan Meng Kong duduk berbincang tentang aktiviti menjual telefon bimbit dan kad prabayar.
- Rumah Badri. Contoh: Ibu Badri iaitu Mak Siti menyediakan sarapan.
- Tempat menunggu bas. Contoh: Badri dan Badrul menunggu bas untuk ke sekolah.
- Blok C bangunan sekolah. Contoh: Tempat Badri bertugas sebagai pengawas sekolah pada hari yang ditetapkan.
- Tandas sekolah. Contoh: Badri disimbah oleh Kumar dengan air kotoran ketika berada di dalam tandas.
- Kelas 5 Bestari. Contoh: Kelas Jamil dan Badri belajar bersama-sama.
- Kedai telefon bimbit Encik Tan. Contoh: Tempat Idham, dan Ah Meng bekerja sebagai pembantu kedai.
- Stor dan kedai telefon bimbit Encik Tan. Contoh: Meng Kong mencuri telefon bimbit dan kad prabayar di kedai Encik Tan iaitu bapanya sendiri. Rumah Pak Alang. Contoh: Badri ke rumah Pak Alang untuk mempelajari ilmu persilatan.
- Kompleks beli-belah. Contoh: Tempat kegiatan melepak Shahrul, Kumar dan Meng Kong selepas sesi persekolahan dan pada hujung minggu.
- Resort Jamil. Contoh: Tempat pertemuan semula antara Badri, Jamil dan Taufik selepas masing-masing berjaya menamatkan pelajarannya di universiti dan berjaya dalam kerjaya masing-masing.
Latar Masa
- Pagi. Contoh: Mak Siti memasak nasi lemak dan sambal sotong pada waktu pagi untuk sarapan mereka sekeluarga.
- Waktu selepas rehat. Contoh: Badri sebagai seorang pengawas sekolah, telah dibenarkan makan selepas waktu rehat kerana telah bertugas pada waktu rehat.
- Selepas waktu persekolahan. Contoh: Shahrul, Kumar dan Meng Kong melepak di kompleks beli-belah selepas waktu persekolahan.
- Hari Sabtu. Contoh: Meng Kong telah membuka kedai dan membantu bapanya berniaga di kedai telefon bimbit bapanya iaitu Encik Tan.
- Pukul 4.00 petang. Contoh: Badri telah sampai ke pasar raya untuk menemui Siew Mei..
- Petang. Contoh: Shahrl berkumpul dengan budak-budak motor.
Latar Masyarakat
- Masyarakat yang prihatin terhadap anak. Contoh: Encik Tan merelakan Meng Kong tinggal di asrama supaya Meng Kong lebih berdisiplin dan boleh mengubah perangainya untuk berjaya dalam peperiksaan.
- Masyarakat yang bijak menguruskan masa. Contoh: Badri dan Badrul berada di tempat menunggu bas seawal pukul 6.40 pagi agar tidak ketinggalan bas.
- Masyarakat pelajar yang rajin belajar. Contoh: Badri, Siew Mei dan Taufik bersungguh-sungguh mengulang kkaji pelajaran untuk menghadapi peperiksaan.
- Masyarakat yang bertanggungjawab terhadap tugas. Contoh: Badri sebagai seorang pengawas melakukan rondaan di kawasan sekolah pada setiap pagi persekolahan.
- Masyarakat guru yang tegas dan adil. Contoh: Cikgu Jailani tegas dan adil dalam menyelesaikan masalah disiplin murid supaya tidak ada murid yang teraniayai.
- Masyarakat pelajar yang terjebak dalam permasalahan sosial. Contoh: Shahrul, Kumar dan Meng Kong telah terlibat dalam gejala sosial seperti melepak di kompleks beli-belah, menjual telefon bimbit yang dicuri dan bercampur dengan budak-budak motor.
- Masyarakat yang bekerjasama menyelesaikan masalah. Contoh: Lokman dan Badri bekerjasama untuk mendapatkan maklumat berkaitan aktiviti Shahrul dan Kumar agar komplot penjualan telefon bimbit dapat dihapuskan di sekolah.
- Masyarakat yang emosional. Contoh: Shahrul cepat melenting apabila ditegur oleh rakannya-rakannya untuk kembali ke pangkal jalan.
Gaya Bahasa
- Personifikasi. Contoh: Ombak memukul pantai
- Peribahasa. Contoh: Macam pinang dibelah dua, Biar pecah di perut jangan pecah di mulut, dan Menang jadi arang kalah jadi abu.
- Pengulangan kata, Contoh: Dia benar-benar bencikan kau. Dia merasakan kau sabagai batu penghalang kegiatannya. Dia juga menyatakan dalam hati kecilnya, sebenarnya dia mencemburui kau.
- Kata ganda. Contoh: mandi-manda
- Simpulan bahasa. Contoh: Buah mulut
- Sinkope. Contoh: Kau, Nak
- Simile.Contoh: Langkahnya terasa berat seperti sedang memikul beban yang amat besar
- Antara kau dengan Shahrul macam burung gagak dengan kapal terbang
- Hiperbola. Contoh: Seribu penyesalan bertakhta dalam sanubari Badri.
- Bahasa Asing (bahasa Inggeris). Contoh: Romeo rupa-rupanya, Understanding daripada kakak, Race
Pengajaran
- Kita perlulah tabah menghadapi cabaran untuk menylesaikan masalah. Contoh: Badri tabah menghadapi cabaran ketika menjalankan tugas sebagai seorang pengawas walaupun telah disimbah dengan air sehingga dia berjaya menyelesaikan masalah disiplin pelajar seperti kes penjualan telefon bimbit.
- Kita haruslah mempelajari seni pertahanan diri untuk menjaga keselamatan diri. Contoh: Badri dapat mengelakkan serangan daripada Shahrul secara spontan kerana dia memang mempunyai ilmu persilatan.
- Kita hendaklah gigih berusaha untuk mencapai kejayaan. Contoh: Badri dan Siew Mei gigih belajar sehingga memperoleh keputusan 9A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.
- Kita mestilah tegas dan adil ketika menyelesaikan sesuatu masalah agar tidak menganiaya orang lain. Contoh: Cikgu Jailani menyelidik secara terperinci penemuan telefon bimbit di dalam beg Badri agar Badri tidak teraniayai kerana beliau percaya bahawa Badri tidak bersalah.
- Kita hendaklah berani memberikan maklumat yang benar untuk mengatasi sesuatu masalah. Contoh: Siew Mei membantu Badri memberikan maklumat berkaitan masalah disiplin murid-murid sehingga terbongkarnya kegiatan penjualan telefon bimbit oleh Shahrul dan Meng Kong.
- Kita janganlah terburu-buru dalam membuat keputusan. Contoh: Encik Tan terburu-buru memberhentikan Idham iaitu abang Jamil yang bekerja di kedai telefon bimbitnya setelah mempercayai akan dakwaan Meng Kong bahawa Idham yang telah mencuri telefon bimbit di kedainya.
- Kita haruslah taat kepada ibu bapa demi kejayaan masa depan. Contoh: Meng Kong akur dengan tindakan bapanya untuk tinggal di asrama sekolah
- Kita hendaklah insaf setelah melakukan sesuatu kesalahan agar tidak terus-menerus mengalami kesusahan. Contoh: Shahrul telah sedar dan insaf akan segala kesalahannya setelah terlibat dalam kemalangan dan menyebabkan kakinya tempang sebelah.
- Kita hendaklah berbincang secara rasional dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Contoh: Encik Tan telah berbincang dan bersepakat dengan Cikgu Jailani untuk menempatkan Meng Kong di asrama sekolah bagi mengatasi masalah tersebut disiplin anaknya.
- Nilai kasih sayang. Contoh: Demi rasa kasih dan sayang akan anaknya, Encik Tan sanggup menempatkan anaknya di asrama sekolah agar Meng Kong berubah sikapnya dan tidak terjebat lagi dengan gejala sosial.
- Nilai ketabahan. Contoh: Badri seorang yang tabah dalam menjalankan tugasnya sebagai seorang pengawas walaupun berbagai-berbagai dugaan, cemuhan, ugutan dan tindakan yang terpaksa dihadapi olehnya.
- Nilai kegigihan. Contoh: Badri gigih berusaha dan belajar sehingga memperoleh keputusan yang kecemerlangan iaitu 9A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.
- Nilai bertanggungjawab. Contoh: Mak Siti seorang ibu yang bertanggungjawab kerana telah memasak nasi lemak dan sambal sotong untuk sarapan anak-anaknya.
- Nilai prihatin. Contoh: Badri seorang yang amat prihatin kepada rakannya, beliau tetap meneruskan hasrat untuk menceritakan perihal Shahrul kepada Nadira walaupun mengetahui bahawa Nadira pasti tidak akan mempercayainya demi sayang akan masa depan Nadira.
- Nilai cinta akan seni warisan bangsa, Contoh: Badri mempelajari seni pertahanan diri iaitu silat dengan Pak Alangnya dan sentiasa menjaga etika silat di mana-mana saja dia berada.
- Nilai keberanian. Contoh: Badri seorang yang berani kerana tetap ingin berjumpa dengan seseorang yang tidak pasti hanya melalui nota kecil yang terdapat di dalam poketnya demi mendapatkan maklumat dan menyelesaikan masalah sosial rakan-rakan di sekolahnya
- Nilai persahabatan yang berkekalan (semangat setiakawan). Contoh: Walaupun Badri, Jamil, Shahrul, Meng Kong, dan Siew Mei telah ada kehidupan masing-masing namun ingatan persahabatan tetap kekal dalam sanubari masing-masing.
Latihan
- Merenang Gelora: Persoalan- Tanggungjawab Terhadap Tugas. Berdasarkan novel di atas berikan tiga contoh peristiwa yang dapat menggambarkan persoaSoalan 2:
- NILAI – KEGIGIHAN. Berdasarkan novel “Merenang Gelora”, jelaskan tiga peristiwa yang menggambarkan nilai kegigihan.
- NILAI- KEBERANIAN. Berdasarkan novel “Merenang Gelora”, jelaskan tiga peristiwa yang menggambarkan nilai keberanian.
- NILAI- KASIH SAYANG. Berdasarkan novel “Merenang Gelora”, jelaskan tiga peristiwa yang menggambarkan nilai kasih sayang.
- PERWATAKAN WATAK UTAMA – BADRI SEORANG YANG BERANI. Berdasarkan novel :Merenang Gelora”, jelaskan tiga peristiwa yang menggambarkan perwatakan watak utama dalam seperti yang ditetapkan di atas?
- PERWATAKAN WATAK UTAMA- BADRI SEORANG YANG GIGIH. Berdasarkan novel “Merenang Gelora”, jelaskan tiga peristiwa yang menggambarkan perwatakan watak utama dalam seperti yang ditetapkan di atas?
- PERBANDINGAN ANTARA WATAK- Watak utama- Badri dengan watak sampingan- Shahrul. Berdasarkan novel di atas nyatakan 3 perbandingan antara watak utama dan watak sampingan?
- Berdasarkan novel “Merenang Gelora” jelaskan tiga latar tempat setiap tempat tersebut berikan contoh tiga peristiwa yang berlaku?
- Berdasarkan novel “Merenang Gelora”, jelaskan tiga latar masyarakat. Bagi setiap tempat tersebut berikan contoh tiga peristiwa yang berlaku.
- LATAR: MASA >>> TEMPAT >>>> MASYARAKAT: Latar merupakan unsur penting dalam sesebuah novel. Berdasarkan novel yang anda kaji huraikan satu contoh peristiwa bagi setiap latar di atas?
- KITA HENDAKLAH SENTIASA MENGAMALKAN SIKAP BANTU MEMBANTU DALAM KEHIDUPAN. Huraikan tiga contoh peristiwa yang berkaitan dengan pernyataan di atas daripada sebuah novel Tingkatan 3.
- Novel yang saya kaji ialan “Merenang Gelora” karya Ruslan Ngah terdapat banyak peristiwa yang memperlihatkan sikap saling membantu dalam kehidupan. Huraikan 3 contoh peristiwa yang memperlihatkan sikap tersebut.
- PENGAJARAN
KITA MESTILAH PRIHATIN AKAN KESUSAHAN ORANG LAIN
KITA JANGANLAH MELANGGAR PERATURAN SEKOLAH
- Berdasarkan novel Tingkatan Tiga yang anda pelajari, berikan satu contoh peristiwa yang menggambarkan setiap pengajaran di atas.
- Tuliskan tiga peristiwa yang menarik yang terdapat dalam novel Merenang Gelora
- Nyatakan tiga contoh penggunaan unsur gaya bahasa yang terdapat dalam novel yang anda kaji.
- Berdasarkan novel yang anda kaji. Huraikan tiga perwatakan watak utama yang wajar kita contohi
No comments:
Post a Comment