Tuesday, May 11, 2010

Faedah-faedah pelibatan Malaysia dalam misi penerokaan angkasa lepas

Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan tentang faedah-faedah penglibatan Malaysia dalam misi meneroka angkasa lepas. Panjangnya ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan supaya menggunakan ayat anda sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

Misi penghantaran angkasawan Malaysia yang pertama ke angkasa lepas yang bermula pada tahun 2003 akhirnya berjaya setelah Dr. Sheikh Muszaphar Shukor, selesai menamatkan misi 11 hari berada di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS). Walaupun detik bersejarah itu tercatat 46 tahun selepas kejayaan angkasawan pertama Yuri Gagarin dari Rusia membuat pusingan bersejarah mengelilingi Bumi, namun kejayaan Sheikh Muszaphar amat bermakna kepada negara bersempena dengan 50 tahun usia kemerdekaan tanah air.
Kejayaan ini memberi gambaran yang amat jelas tentang kesungguhan negara untuk menyertai penerokaan angkasa lepas dengan menghantar angkasawan pertama selepas tiga tahun ditawarkan berbuat demikian. Tiada siapa boleh menidakkan betapa kejayaan angkasawan pertama negara menjadi kebanggaan kita sekaligus melonjakkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa. Kejayaan menjadikan Program Angkasawan Negara satu realiti pastinya membuka mata masyarakat dunia betapa negara kecil ini juga boleh duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan neraga maju. Kejayaan ini telah menutup tanggapan orang ramai bahawa program ini membazirkan wang rakyat. Malah sebelum ini ramai yang tidak yakin misi ini akan membuahkan hasil. Selain itu, tanggapan negara maju yang usaha Malaysia menyertai misi tersebut untuk menandingi negara lain dapat dihapuskan.

Sesungguhnya kejayaan ini telah mendorong kelangsungan program angkasawan negara terutama dari sudut penyebaran ilmu dalam kalangan pelajar. Minat generasi muda baik di peringkat tadika terhadap penerokaan angkasa lepas akan berkembang. Kejayaan Sheikh Muszaphar amat penting untuk mendidik rakyat Malaysia tentang angkasa lepas. Begitu juga dengan cadangan kerajaan untuk mewujudkan pelan tindakan pembangunan angkasa negara sebagai susulan kepada penghantaran angkasawan pertama Malaysia ke ISS akan menerima respons yang baik daripada orang ramai.

Kita berharap Sheikh Muszaphar akan memberi ceramah di seluruh pelosok negara tentang pengalamannya di angkasa untuk menarik minat masyarakat tentang angkasa lepas. Begitu juga dengan hasil penyelidikan Sheikh Muszaphar di ISS bakal membuka lembaran baharu bidang perubatan khususnya dalam menyediakan kaedah rawatan penyakit kronik. Pelaburan untuk meneroka angkasa lepas yang besar jumlahnya dapat dimanfaatkan sepenuhnya supaya kelak bakal angkasawan yang dilahirkan di negara kita mampu bersaing dengan calon-calon dari negara luar. Sesungguhnya kejayaan angkasawan pertama kita mesti ada susulannya sebagai bukti bahawa negara serius menyertai masyarakat antarabangsa meneroka angkasa.
Bahagian A (ii): Pemahaman
  1. Berikan maksud rangkai kata bakal membuka lembaran baharu. [2 markah]
  2. Berdasarkan petikan, apakah tanggapan negatif sebelum misi ke angkasa lepas dijalankan? [4 markah]
  3. Pada pendapat anda, mengapakah Malaysia jauh ketinggalan dalam menerokai angkasa lepas jika dibandingkan dengan negara Russia? [4 markah]

Sebab-sebab remaja perlu membaca bahan bacaan yang bermutu

Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan tentang sebab-sebab remaja perlu membaca bahan bacaan yang bermutu. Panjangnya ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan supaya menggunakan ayat anda sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

Jika remaja tidak berminat membaca mereka akan ketinggalan tentang perkembangan pesat yang berlaku di dunia pada hari ini. Dunia pada era globalisasi ini adalah bertunjangkan maklumat dan ilmu sebagai asas perkembangannya. Sekiranya remaja tidak gemar membaca dan kalau hanya membaca tentang hal-hal yang ringan dan bercorak hiburan, gosip, hal-hal picisan, tahayul, kisah-kisah artis dan penghibur semasa, ilmu mereka tidak akan berkembang.

Remaja perlu membaca bahan-bahan bacaan yang bermutu untuk melatih diri supaya berfikir dan menganalisis. Generasi yang membaca bahan bacaan yang bermutu akan dapat menghasilkan idea-idea yang bermakna untuk diri, masyarakat dan negara. Dalam bahan bacaan yang bermutu terkandung maklumat dan ilmu yang amat berguna untuk remaja.

Masyarakat Barat dan Jepun amat gemar membaca. Membaca bukan saja menjadi tabiat sebahagian masyarakat mereka di segenap peringkat tetapi juga menjadi santapan jiwa. Bagi mereka, mendapat bahan bacaan yang digemari ibarat mendapat teman yang sangat dikasihi. Kalau remaja rajin membaca bahan bacaan yang bermutu nescaya pada masa hadapan mereka mampu menempa kemajuan dan perubahan yang berguna untuk masyarakat dan negara seperti orang Barat dan Jepun tersebut.

Tabiat membaca mesti dipupuk dan dilatih sejak kecil lagi. Anak-anak yang masih kecil patut didedahkan dengan bahan-bahan bacaan yang bahan bacaan yang bermutu supaya daya pemikiran mereka akan berkembang dan mereka mampu meningkatkan ilmu pengetahuan. Sekiranya remaja membaca bahan bacaan yang tidak bermutu mereka hanya berupaya memikirkan perkara-perkara yang remeh sahaja. Justeru, apabila dewasa mereka tidak akan berupaya menghadapi desakan hidup yang kian mencabar.

Sebagai negara yang sedang menuju tahap negara maju dan berpendapatan tinggi Malaysia seharusnya memiliki generasi muda yang berminat membaca kerana kemajuan negara banyak bergantung kepada kemampuan ilmu pengetahuan dan pemikiran rakyatnya supaya kita tidak akan terpinggir daripada arus maklumat, ilmu dan juga kemajuan pada era globalisasi yang sedang kita tempuh. Proses memajukan negara harus seimbang dengan darjah kemampuan rakyatnya berfikir.

Bahagian A (ii)
  1. Berikan maksud rangkai kata desakan hidup yang kian mencabar. 2 markah
  2. Menurut pengarang, nyatakan dua kesan sekiranya remaja kita hanya berminat membaca bahan bacaan yang tidak bermutu?
  3. Pada pendapat anda, apakah yang patut dilakukan untuk menggalakkan minat golongan remaja kita membaca bahan bacaan yang bermutu?